"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Selasa, Mac 31, 2009

Logo BPN

Mengenai logo BPN yang saya gunakan seperti berikut :


Sebenarnya saya buat logo tersebut hanya untuk suka-suka. Selepas chat dengan Panglima Perang Cyber di YM di mana beliau meminta saya meletakkan slogan 'Satu Suara, Satu Arah, Satu Akidah' di bawah logo BPN, saya mula membuka Adobe Photoshop dan cuba-cuba membuat logo BPN untuk blog saya.

Tak sangka pula Panglima Perang Cyber menjadikan logo 'main-main' saya ini sebagai logo ahli. Segannya bukan kepalang. Saya bukanlah pakar grafik, sedangkan ramai bloggers yang lain yang mungkin lebih pakar.

Memandangkan ada sebilangan ahli yang menghadapi masalah untuk menyesuaikan logo tersebut dengan template blog masing-masing, oleh itu saya sediakan satu lagi logo yang sesuai digunakan di mana-mana template.

Sila gunakan logo di bawah untuk disesuaikan dengan sebarang jenis warna latar belakang. Telah dibuat format png yang mana saiznya lebih besar berbanding format jpg.


Selepas beberapa lama menggunakan logo tersebut dan mula bosan dengan tulisannya yang tak berapa cantik, saya mula beralih kepada flash.

Hanya 2 warna latarbelakang iaitu hitam dan putih. Contohnya saya letakkan di sebelah kiri atas blog dan di bahagian bawah blog ini.

Anda nilaikan sendiri. Tak cantik tapi rasanya kelihatan kemas.



Logo flash latarbelakang hitam





Logo flash latarbelakang putih






Sila komen...

Read more...

Khamis, Mac 26, 2009

Sembang Kedai Kopi 2

Tarikh : Sabtu, 21 Mac 2009

Apa perjuangan kita?


"Matlamat utama kita (PAS) adalah untuk menegakkan syiar Islam dan menubuhkan negara Islam," kata Abang Zul. Seterusnya beliau menyambung, "Ok, negara Islam memang susah ditubuhkan bila kita (PAS) bersama dengan PKR dan DAP. DAP memang tak nak negara Islam. PKR pula perjuangkan kesamarataan antara kaum, dan lebih dikuasai oleh anggota yang agama dan bangsa lain. Tapi menjadi kewajiban kita untuk mengangkat Islam lebih tinggi dari keutamaan lain."

"Boleh ke?" Adi menyampuk sambil matanya melilau melihat sekitar kedai. Entah apa yang dicarinya.

"Dah tentu boleh. Negara kita ada perlembagaan, dan ada kontrak sosial sejak dulu lagi. Kita berpegang pada yang dua tu pun dah cukup untuk mengikat agama dan bangsa kita di atas (utama/rasmi)," Abang Zul menjelaskan.

"Kalau nak cakap hal macam ni, rasanya tak habis. Kita (PAS) ikut PR, perjuangkan kesamarataan. Orang cabar agama dan bangsa kita, kita diam je. Orang Kristian nak guna kalimah Allah, kita kata tak salah. Sokong pulak tu. Orang lain nak berkuasa, kita sanggup ikut je. Mana hala tuju kita?" saya bertanya kepada Abang Zul.

"Tambah roti kosong satu lagi!" Adi memesan roti canai. "Tak cukup satu," Adi berkata sambil tersengih. Itulah, siapa suruh makan roti canai. kalau lapar, 3 keping pun belum tentu cukup.

Borak-borak punya pasal, 3 keping roti canai si Adi makan. Itu belum kira air yang entah berapa kali order

"Memang... ada yang tak kena dalam parti kita. Nampaknya dah semakin liberal. Terlalu ramai calon berfikiran liberal yang kita angkat menjadi pemimpin dalam parti. Mereka ni pulak jenis yang berani buat kenyataan terbuka. Akhirnya, nampak macam PAS dah jadi parti liberal," Abang Zul berkata lagi. Asyik bercakap saja Abang Zul ni. Macam tak puas hati. Sampai air kopinya dah sejuk pun dia tak hiraukan.

"Dulu kata orang lain makan duit haram, sekarang kita (PAS) pun subahat terima cukai arak (negeri mana yang dimaksudkan ni?), hal masjid kita belum ambik tahu tapi sibuk tolong pertahankan kuil dan gereja. Macam-macam lagilah. Malas aku nak fikir," Adi menyampuk.

"Siapa yang tentukan hala tuju PAS? Kadang-kadang saya tengok PAS macam tak stabil emosi. Puak A nak buat kerja tu, tapi puak B bantah. Puak B nakkan orang tu, tapi puak A tak nak orang tu. Puak A nak perkuatkan Islam tapi puak B kata 'For All'. Kalimah Allah pun 'for all' jugak. Lebih kurang puak Haji Hadi dan Nasaruddin lawan puak Nik Aziz dan Husam. Abang Zul macam mana?" Aku bertanya.

"Memang begitulah keadaannya. Puak-puak liberal ni lebih ikut cakap Ustaz Nik Aziz. Kalau apa-apa yang dibuat oleh puak Ustaz Haji Hadi, memang mereka ni takkan patuh. Itulah pentingnya bila Ustaz Nik Aziz menyebelahi mereka. Mereka akan lebih kuat dari geng Ustaz Haji Hadi," Abang Zul berkata sambil mengacau kopinya yang dah sejuk.

"Ramai yang berperangai macam liberal. Orang buat kesalahan moral, dibela mati-matian. Kononnya hak peribadi. Agaknya tak salah nak buat maksiat atau bergambar yang bukan-bukan, asalkan tak tersebar," Adi berkata.

"Orang mana buat kesalahan moral?" aku bertanya.

"Elizabeth la. Siapa lagi. Ada orang lain lagi ke? Oh ya, si Anwar. Pembela kemaksiatan diorang ni," panas betul kata-kata Adi. Saya tak pasti sama ada kata-katanya itu dimaksudkan kepada PR, PKR atau PAS sendiri.

"PAS dah jadi makin liberal sejak ramai dari golongan profesional jadi pemimpin parti. Tambah pula dengan joint-venture dengan PKR dan DAP. Bila dah bergabung kita tak boleh bawa suara Islam, tak boleh sebut pasal perjuangan Islam sebab takut nanti DAP marah. PKR pun ramai orang India dan Kristian," Abang Zul berkata sebelum menghirup kopinya.

"Dulu kata Selangor makan cukai arak, duit haram. Sekarang kita (PR) berkuasa. Kita makan juga duit cukai arak. Duit tu juga yang bayar elaun exco. Itu belum kira duit disko, pub, dan entah bisnes haram apa lagi entah," Adi mencelah.

"Terlalu banyak dahulukan kepentingan puak lain, kepentingan bangsa dan agama kita dikemudiankan. Tengoklah macam projek ladang ternakan baby (babi) tu. Lepas tu usaha untuk memperbanyakkan tokong, kuil dan gereja. Siap dengan peruntukan negeri pulak. Nak ambil pula duit majlis agama untuk dikongsi dengan rumah ibadat tu semua. Bila puak-puak (bangsa lain) tu ada rasa diri dah berkuasa, berani nak suruh perlahankan azan. Kita diam je. Ikut telunjuk diorang. Habis tu, apa perjuangan kita?" panjang pula Abang Zul berbicara. Macam banyak yangterpendam dalam hatinya. Aku cuma banyak jadi pendengar sahaja.

"Kalau nak cerita pasal ni, sampai minggu depan pun tak habis. Sebenarnya ramai yang kecewa dengan PAS sekarang. Kita tak jadi semakin baik tapi makin tenat dengan pemimpin yang liberal, banyak dolak dalih, cakap berubah-ubah. Tambah pulak dengan ahli dan penyokong yang sebenarnya tak faham erti perjuangan Islam," Adi berkata sambil menekan-nekan roti canainya dalam kuah kari bagai melepaskan geram.

"Kau dengan Abang Zul kan orang penting, petugas parti. Apa sumbangan untuk membetulkan perkara ni?" saya bertanya kepada Adi. Adi diam seketika.

"Kita ni orang kecil je. Silap cakap, kita kena tendang pulak. Apa susah, tulis dalam internet banyak-banyak. Kau pun ada blog. Tulis la," Adi menjawab.

"Memang dia akan tulis. Tengoklah, handphone dia duduk atas meja. Mesti dia tengah rakam tu," Abang Zul ketawa kecil. Alamak! Dia terperasankan handphone saya pula. Kantoi!

"Pehhh! Biasanya kau sorok handphone kau. Ni atas meja pulak. Nak korek rahsia ke?" Adi ketawa besar sambil cuba mengambil handphone saya. Saya cuma tersenyum dan membiarkan Adi membelek-beleknya.

Saya tak menjangkakan sahabat-sahabat saya ini akan berkata sedemikian kerana mereka adalah antara petugas parti yang amat aktif. Mereka inilah juga yang menarik saya masuk ke dalam jemaah PAS. Adakah ramai anggota parti yang sebenarnya sudah mula muak dengan sikap sebilangan pemimpin dan penyokong parti? Tetapi siapakah pemimpin yang akan dapat kembali membawa cahaya Islam dengan sebenar-benarnya dalam parti?

Kita wajib ikhlas dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. Kita tidak boleh bermusuhan semata-mata disebabkan perbezaan fahaman politik selagi kita seagama dan sebangsa. Jangan disebabkan kata-kata oleh pemimpin yang berkepentingan diri, kita terikut-ikut dan sesat dalam perkataan dan perbuatan. Sesiapa pun yang membuat kenyataan walau Tok Guru sendiri, kita wajib tahu membezakan benar atau salah. Yang benarlah yang kita ikut, dan yang salah wajib dijauhi.

Namun walaupun tidak puas hati dengan keadaan parti kini, kami masih tetap bersama parti untuk meneruskan perjuangan Islam dan mengharapkan PAS menjadi semakin baik seperti yang dikehendaki dalam agama Islam.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

P/S : Bukan senang untuk menulis semula rakaman di telefon bimbit. Terpaksa buat pelahan-lahan dan banyak makan masa. Sembang kedai kopi belum habis...


Bersambung lagi...

Read more...

Ahad, Mac 22, 2009

Artikel Dr MAZA : Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua


Atas sebab yang tidak dapat dipastikan, pihak Mingguan Malaysia tidak menyiarkan artikel Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada minggu ini yang bertajuk: Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua. Artikel ini sebenarnya mustahak dibaca terutama menjelang pemilihan dalam perhimpunan agong UMNO kali ini. Dinasihati para pemimpin UMNO dan perwakilan membaca artikel ini sebelum meneruskan perjuangan atau membuat pemilihan mereka. Pihak DRMAZA.COM amat berdukacita kerana artikel ini tidak dapat dibaca melalui Mingguan Malaysia, maka dengan itu mereka yang melayari internet tidak memperolehinya. Pohon jasa baik pembaca mengedarkan artikel tersebut.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua


Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia.

Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.

Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.

Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.

Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.

Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)”.

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w:

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila.

Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

Read more...

Sabtu, Mac 21, 2009

Sembang Kedai Kopi 1


Pagi-pagi lagi telefon bimbit saya berbunyi. Rupanya sahabat dari Cheras. Dia mengajak saya minum di Seksyen 6, Kota Damansara. Entah apa yang dibuatnya di sana. Mujurlah hari ni saya tak bekerja.

"Tokey, asyik berjalan je? Ada bisnes ke?" aku menegur Adi yang sedang menghirup milo aisnya.

"Kenapa lambat sangat? Dah nak abis air ni," Adi bertanya kembali. Aku cuma tersenyum dan terus duduk. Rasanya masa dia hubungi saya tadi, katanya masih dalam perjalanan.

"Haa, sampai pun kamu. Jom makan sekali," tiba-tiba Abang Zul muncul dari belakang sambil membawa nasi lemak. Maka saya pun turut memesan teh tarik dan nasi lemak untuk sarapan pagi saya.

Sedang kami makan minum sambil berbual-bual, tiba-tiba Adi menunjukkan sebuah kereta yang melalui depan restoran.

"Tengok tu..." Adi pantas menunjuk. Sebuah kereta dengan bendera kecil PAS di kiri-kanan cermin depannya. Abang Zul ketawa kecil.

"Orang kita rupanya," kata Abang Zul.

"Orang kita atau ikut-ikut je?" Adi berkata sambil gelak-gelak.

"Kau ingat tak dulu, yang kita nampak kereta pakai bendera PAS dan DAP tu?" Abang Zul bertanya Adi.

"Ingat. Perodua Kelisa warna merah. Bendera PKR tak ada pun," Adi menjawab.

"Siapa pulak yang buat kerja gila macam tu?" saya bertanya.

"Melayu. Tapi mungkin jenis orang yang ikut-ikut je. Orang sekarang ni ikut-ikut pun dah perasan macam aktif sangat," Abang Zul menjawab. "Agaknya dia nak naik roket pergi ke bulan. Sebab tu pakai bendera DAP dan PAS."

"Bulan tak jatuh ke roket, tapi roket yang pergi ke bulan. Agak-agaknya apa maknanya tu?" Adi bertanya sambil makan roti canai.

"PAS ingat DAP baik dengan dia. Boleh letak bendera PAS bersama bendera DAP. Walhal DAP buat-buat baik je, demi untuk kuasa," Abang Zul berkata. Aku cuma tersenyum. Mereka berdua ni petugas PAS, bukannya tukang ikut tetapi orang penting dalam PAS kawasan masing-masing. Aku yang cuma orang kecil ni, lebih selesa mendengar sambil makan nasi lemak.


"Roket pergi ke bulan..." Adi bersuara. "Situasi pertama, orang bulan gembira bertepuk tangan sebab orang roket datang berkawan. Siap dengan takbir Allahuakbar pulak tu," Adi berhenti sebentar menghirup milo ais. "Situasi kedua, orang roket pacak bendera atas bulan. Balik tempat dia dan canangkan bahawa dia dah tundukkan orang bulan. Orang bulan ikut cakap dia. Sukahati bertepuk tanganlah orang roket yang lain."

"Apa maksudnya tu?" saya bertanyakan Adi.

"Maknanya, orang kita ingat DAP tu ikhlas dengan kita. Kita lupa diri. Sanggup berpeluk-cium dengan DAP. Walhal DAP tu berbaik dengan kita sebab ada kepentingan tertentu. Kita ni mudah lupa diri. Kuasa kita sikit, kuasa dia banyak. Akhirnya kita terpaksa ikut cakap dia, atau ikut rentak dia. Prinsip kita terbuang entah ke mana," Abang Zul menjelaskan kepada saya.

"Bunyinya macam tak puas hati je?" saya sengaja bertanya sebegitu kepada Abang Zul.

"Memanglah. Kita ni terlalu ikut rentak DAP dan PKR. Sanggup gadaikan perjuangan asal demi untuk kuasa," Abang Zul menjawab.

"Bukan 'kita' tapi pemimpin kita dan pengikut-pengikut yang tak fikir panjang," Adi mengusik Abang Zul sambil ketawa kecil.


Bersambung...

Read more...

Selasa, Mac 17, 2009

Allah : Milik Umat Islam

Nama Allah telah lama digunakan oleh orang Kristian di Indonesia untuk merujuk kepada Tuhan Bapa. Malah ia menjadi ikutan di sekitar Sabah Sarawak yang menerima kitab Bible versi bahasa Melayu. Dan kini pihak Kristian di Malaysia mahu menggunakan nama Allah dalam semua terbitan mereka di seluruh Malaysia.

Jika Tuan Guru Nik Aziz dan Majlis Ulama PAS mengatakan bahawa tidak salah pihak Kristian menggunakan nama Allah dengan alasan orang Kristian juga mengakui Allah umat Islam sebagai tuhan mereka, adakah kita sudah fikirkan bahawa :

Nik Aziz mengatakan bahawa di dalam Al-Quran ada menceritakan bahawa orang bukan Islam ada menggunakan perkataan Allah sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Ya, memang benar. Tetapi semenjak kitab Injil diubahsuai, orang Kristian tidak lagi mengakui Allah yang kita sembah itu sebagai tuhan mereka. Mereka punyai tuhan sendiri iaitu Jesus, Tuhan Bapa dan Tuhan Ibu.

Maka adakah Allah yang kita sembah itu sama dengan tuhan yang orang Kristian sembah? Sudah tentu tidak. Allah yang mereka sebut adalah Tuhan Bapa atau ada yang merujuk kepada Jesus.

Langkah mengharamkan pihak Kristian dari menggunakan nama Allah adalah amat bertepatan untuk mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan yang akan melanda umat Islam di Malaysia. Seperti contoh lagu Agnes Monica di atas, jika didengar oleh kanak-kanak yang belum mengerti untuk membezakan mana yang benar dan mana yang salah, maka akan dinyanyikannya. Dan mungkin nanti akan menimbulkan persoalan di benak mereka; "Allah Yesus?"

Dengan peningkatan orang Melayu yang murtad ke agama Kristian dan betapa aktifnya dahwah Kristianisasi di malaysia ini terhadap umat Islam, kita perlu mengambil langkah walau sekecil manapun usaha demi untuk menghalang berlakunya helah untuk mengelirukan minda umat Islam.

Kita pernah mendengar dan melihat bukti penyebaran komik Kristian yang menarik minat kanak-kanak. Juga penyebaran alinjil sebesar surah Yasin. Maka wajarkah kita membiarkan munculnya terbitan baru pihak Kristian yang ingin menyesatkan umat Islam?


Saya merasa kesal kerana ramai pemimpin kita yang sanggup menggadaikan kesucian Islam demi untuk meraih sokongan dan demi kepentingan survival politik masing-masing. Malah dari parti Islam sendiri di mana ada pemimpin dan pengikutnya yang sengaja membutakan hati atau memang hilang arah dalam kehidupan apabila menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian yang kita tidak tahu motif sebenar mereka.

Seperti Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Pas-Kuala Selangor), Khalid Samad (Ahli Parlimen Pas-Shah Alam) dan juga Tuan Guru Nik Aziz yang membela penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian, amatlah mengelirukan umat Islam terutama sekali kerana mereka adalah dari parti Islam terbesar di Malaysia. Namun mujurlah Ustaz Taib Azamudden Mat Taib (Ahli Parlimen Pas-Baling) tidak senada dengan mereka dan kenyataan Ustaz Taib akhirnya memalukan wakil rakyat PAS yang liberal tersebut.

Sebagai umat Islam, kita harus terus berjuang mempertahankan kesucian agam Islam dari dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lupakan perbezaan politik kerana hanya ideologi politk yang berbeza sedangkan agama kita tetap sama iaitu Islam. Pertahankanlah sehingga ke titisan darah yang terakhir, kerana tanpa agama Islam maka hancurlah kita.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. - Surah Al-Baqarah ayat 120

Read more...

Sabtu, Mac 14, 2009

Lama Tak Update Blog...

"Kenapa dah lama tak update blog?"

Begitulah sms yang saya terima dari seorang sahabat yang juga senior saya sewaktu dalam jemaah PAS di ipt. Saya cuma tersenyum sendiri dan tidak tahu apa yang patut saya tulis untuk membalas sms beliau.

Memandangkan beliau selalu menjengah ke blog saya yang tak hebat ini, rasanya lebih baik saya karangkan jawapan di sini agar beliau dapat baca. Kalau nak taip sms, rasanya entah berapa banyak kredit yang diperlukan kerana saya guna Hotlink manakala beliau guna Xpax.

Sebenarnya, saya mempunyai beberapa sebab yang mengganggu saya untuk sentiasa mengemaskini blog pada masa ini. Kadangkala perkara tersebut bukanlah halangan tetapi disebabkan kewajipan dan tanggungjawab lain.

Kerja Baru

Sejak berpindah ke Damansara ni, saya sentiasa sibuk dengan kerja. Selalunya habis kerja dan pulang ke rumah hampir pukul 10 malam. Setelah berhabis banyak wang untuk masuk rumah baru pada awal Februari lepas, saya perlu tumpukan kepada sesuatu kerja yang betul-betul boleh menghasilkan wang untuk saya demi untuk keluarga tercinta. Saya perlu lupakan sementara blog saya walaupun saban masa saya terasa nak buat artikel.

Saya hanya seorang blogger bebas, sama seperti kebanyakan blogger yang lain. Blog ini hanyalah curahan suara saya. Maka apabila saya tidak membuat artikel baru, maknanya saya tak sempat bersuara kerana terlalu sibuk dengan perkara lain.

Seperti perbualan singkat saya dengan Gomo dalam YM. Kami bukanlah blogger tetap atau dibayar, dan ini bukan kerja tetap kami. Kami cuma meluangkan masa untuk blog demi untuk agama, bangsa dan negara. Kadangkala kami terpaksa korbankan masa dan tenaga kami demi untuk blog ini. Tapi kami tetap berusaha kerana inilah suara kami. Siapa lagi yang nak dengar suara kami jika bukan para pembaca sekalian? Pemimpin sibuk nak berperang sesama sendiri sahaja.

Blogger Bergaji

Lainlah dengan blogger yang memang dibayar untuk berblog. Itu memang kerja mereka. Mereka mampu kemaskini blog setiap masa kerana itu memang kerja mereka. Itu sahaja yang dihadapnya. Menurut sahabat saya yang juga petugas PAS Pusat, blogger ini terbahagi kepada 3 jenis.

Pertamanya, petugas parti. Mereka memang petugas sepenuh masa dan minat untuk berblog. Kelebihan mereka yang sentiasa bergerak bersama tugasan parti memberi kelebihan untuk mereka menulis artikel terkini.

Kedua, tentera syaitan (gelaran yang diberi oleh sahabat saya itu). Mereka adalah blogger yang dibayar untuk berblog mengutuk dan memfitnah parti lawan. Mereka akan dibiayai untuk berblog dan dibiayai untuk berkampung di sesuatu lokasi pengundian atau perkara yang sewaktu dengannya. Kiranya blog adalah kerja sepenuh masa mereka dan mendapat gaji dengan memburukkan parti lawan. Menurut sahabat saya lagi, jarang blogger PAS yang terlibat dengan kes bayaran ini. Jika ada pun, dibayar oleh PKR (maaf, begitulah yang beliau nyatakan). Apalagi jika blogger PKR...

Ketiga, 2 dalam 1. Blogger ini adalah petugas parti, tetapi turut dibayar untuk mencerca pihak lawan dalam blog masing-masing. Bermakna tugas mereka adalah seperti kategori pertama campur kategori kedua...

Tidak salah dibayar untuk berblog. Yang salahnya bila mencerca, memprovokasikan, memfitnah dan memaki-hamun pihak lain. Dan tiada nas atau dalil yang menghalalkan perbuatan itu.

Cari Ketenangan

Saya juga sebenarnya mencari ketenangan dan cuba melarikan diri dari isu-isu yang menyakitkan hati saya. Saya menyibukkan diri dengan kerja dan keluarga. Lebih menyakitkan hati bila parti saya sendiri bagaikan tidak berpendirian tetap atau sanggup bersekongkol dengan pihak lain yang bermuslihat terhadap agama, bangsa dan negara.

Hari ini pun saya nak habiskan masa dengan keluarga dan menziarahi saudara-mara dan sahabat-handai di sekitar KL. Sekurang-kurangnya dapat melegakan fikiran saya dan melupakan seketika pergolakan politik Malaysia ni. Hingga jumpa lagi...

Read more...

Resolusi 5/2009 : Sidang DUN Perak Tanpa Perkenan Sultan


Mengutuk Tindakan Membuat Sidang DUN Perak Tanpa Perkenan Sultan

BPN mengutuk tindakan Pakatan Rakyat yang berdegil ingin mencabar kedaulatan kuasa Sultan Perak yang tidak memperkenankan sidang DUN walau sudah diberi amaran oleh banyak pihak.

BPN mengutuk tindakan menjadikan agenda politik lebih utama dari kestabilan dan keamanan rakyat Perak.

BPN juga meminta rakyat tidak menyokong tindakan yang jelas menderhaka kepada Sultan ini yang boleh mencetuskan huru hara di sana.

BPN meminta tindakan lebih tegas dari pihak berkuasa untuk menghentikan permainan gila politik pembangkang ini yang sudah keterlaluan tanpa mengira untuk menunaikan janji janji mereka semasa PRU yang lalu.

BPN turut meminta agar DUN Perak tidak dibubarkan demi menjimatkan wang rakyat dan mengelakkan keadaan dan suasana semakin tidak terkawal jika pilihanraya diadakan sekali lagi di negeri Perak.

BPN memohon campur tangan Raja Raja Melayu dalam isu ini agar menyedarkan rakyat tentang kuasa yang dimilik oleh Majlis Raja Raja sebagai Parlimen Ketiga yang Tertinggi dan mengatasi mana mana kuasa yang ada di negara kita...

DAULAT TUANKU !!!!


Yang benar :
Blogger Pembela Negara

Disediakan oleh :
Panglima Perang Cyber
Ydp Blogger Pembela Negara

Read more...

Resolusi 4 / 2009 : Isu Penggunaan Kalimah Allah


Tajuk : Kalimah Allah Perlu Dibenarkan Kepada Umat Islam Sahaja Di Malaysia

1.BPN mendesak pengharaman kalimah ALLAH yang ditarik balik oleh Kerajaan Malaysia dikaji semula demi mengelakkan mudarat lebih besar ekoran reaksi penganut Islam yang bimbang ia boleh menjadi titik kristianisasi di Malaysia

2.BPN mencadangkan penerangan isu ini perlu dibuat secara meluas di media massa dan eletronik demi mengelakkan salah faham bukan Islam dan juga umat Islam sendiri

3.BPN merasakan sudah tiba masanya isu agama ini perlu diselangi dengan tindakan tegas sebelum ramai lagi akan bangkit menyentuh isu tersebut demi kepentingan mereka meskipun ia jelas melanggar perlembagaan negara kita.

4. BPN memohon perhatian DYMM Seri Paduka Baginda Yang dipertuan Agong untuk menggunakan kuasa mutlak baginda dalam hal agama ini bagi menghalang serta merta tindakan Kerajaan Malaysiamembenarkan penggunaan kalimah ALLAH tersebut kepada penganut agama Kristian

5. BPN juga akan memastikan kalimah ALLAH hanya dibenar dan diberi kepada penganut Islam sahaja samada menerusi tulisan atau percakapan dan sebarang tindakan bertentangan dengan hasrat tersebut akan ditentang habis habisan oleh para blogger BPN demi mengelakkan perasaan tidak puas hati dan marah dari merebak dalam hati sanubari rakyat Malaysia….


Yang benar,
Blogger Pembela Negara

Disedia oleh :

Panglima Perang Cyber
YDP BPN

Tarikh : Ahad 28 Feb 2009 Jan 6.30 pm

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.